Tindakan anggota polis ini hanya memburukkan nama baik PDRM saja! Pada 19 Oktober 2016, seorang pelajar Korea Selatan Kim Yun Song didakwa di mahkamah atas kesalahan pemerdagangan ganja seberat 219gram.
Jika sabit kesalahan, suspek akan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Suspek ditahan apabila pihak polis menyerbu sebuah apartment di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.
Suspek yang berusia 20 tahun sedang menuntut di sebuah kolej tempatan ditahan ketika serbuan tersebut dijalankan.
Namun, kebenaran akhirnya berpihak kepada suspek setelah setahun meringkuk di dalam penjara. Memetik laporan Mstar Online, seorang inspektor polis berusia 27 tahun yang terlibat dalam serbuan tersebut telah menipu ketika dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi.
Peguam tersebut berkata "Dia (polis) berbohong. Ianya terbongkar apabila kami mencabarnya dan memberitahu kami akan menjalankan prosiding penghinaan terhadapnya kerana kami mempunyai bukti yang dia telah menipu. Kami mahu lihat sama ada dia mahu mengaku ataupun tidak".
Peguam tersebut telah berkali-kali menyoal inspektor tersebut sama ada terdapat individu lain selain pasukan serbuan pada malam tersebut.
Inspektor berkenaan masih berbohong sehinggalah peguam bela berkata mereka mempunyai rakaman CCTV yang jelas memaparkan terdapat individu lain dalam keadaan bergari dalam serbuan tersebut.
Hakim Abu Bakar Jais kemudian memutuskan untuk membebaskan Kim dan pihak pendakwa raya juga terpaksa menggugurkan kes.
"Selepas mengambil kira penyerahan bukti oleh kedua-dua pihak, saya dengan ini membebaskan dan melepaskan tertuduh" kata hakim Abu Bakar lagi.
Keputusan itu turut menggembirakan air mata keluarga pelajar tersebut yang terbang dari Korea Selatan. Mereka akan pulang ke Korea untuk memperbaharui visa pelajar Kim dan pelajar tersebut akan kembali semula ke Malaysia untuk menamatkan pelajaran.








