"DIA lelaki terbaik dalam diri saya, walau apapun berlaku," itu luahan pengarah dan pelakon popular Erma Fatima.
Erma berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kisah perceraiannya dengan bekas suaminya Bade Azmi beberapa hari lalu.
Baik Erma mahupun Bade, kedua-duanya mendiamkan diri selepas bercerai pada 17 Ogos lalu.
"Saya terima ini sebagai takdir hidup saya. Dah bertahun hidup bersama, siapa suka perkara macam ni berlaku.
"Saya terima semuanya. Saya mahu fokus ke hadapan. Lagi-lagi saya semakin sibuk dengan hobi saya iaitu rekaan fesyen," katanya kepada media selepas sidang media Malaysia Fashion & Business Mission to New York.
Katanya, bukan mudah dia menerima keputusan itu, namun kehidupan harus diteruskan.
"Pada 17hb (Ogos), kita tutup buku, 18hb kita kena buka buku baharu.
"Untuk anak-anak, saya perlu berterus terang pada mereka. Apa-apapun, itu ayah mereka, Bade datang rumah macam biasa untuk berjumpa anak-anaknya," katanya.
Erma dan Bade sebelum ini mempunyai lima anak angkat masing-masing berusia antara 24 tahun hingga 11 tahun.
"Mereka (anak-anak) perlu tahu kebenaran. Saya ajar mereka berdikari.
"Bagi saya, kalau kita sayangkan seseorang, kita kena belajar untuk melepaskannya," katanya.
Dalam pada itu, Erma berkata, hubungannya drngan bekas suaminya baik walaupun sudah bercerai.
"Saya dan dia tak pernah bergaduh. Kami baik saja," katanya.
Dalam pada itu, Erma berkata, dia masih boleh bekerjasama denagan Bade seperti biasa.
"Dia pengarah Mak Cun sebelum ini. Untuk musim terbaru, saya tak tahu lagi siapa pengarahnya," jelasnya.
Diminta mengulas mengenai video 'Tuhan Jaga Doa Untukku' yang dimuat naik dalam laman sosial Instagramnya beberapa hari lalu, Erma berkata ia adalah video terakhirnya buat Bade.
"Saya saja-saja buat video itu. Itu yang terakhir daripada saya kepadanya,"
Teruja minat baharu
Terkini, Erma sibuk dengan persiapan akhir untuk ke New York bagi program Malaysia Fashion & Business Mission to New York, bulan hadapan.
"Saya sangat teruja untuk ke sana. Fesyen adalah hobi baharu.
"Saya pun baru bermula sejak dua tahun lalu. Saya sendiri tak tahu dari mana datangnya minat ini.
"Yang pasti, jenama Mak Cun akan ke luar negara. Saya akan terus perjuangkan jenama ini di pentas antarabangsa biarpun ia tidak begitu diterima di sini," jelasnya.
Erma akan bersama dua lagi pereka fesyen Sara J dan Eja Shahril akan membuat persembahan di New York dengan bantuan Persatuan Wanita Bumiputera dalam Perniagaan dan Profesyen (Peniagawati).
Sumber: Sinar Harian









