GUA MUSANG - Disaat kanak-kanak lain seusianya sedang menikmati keriangan di taman permainan, anak kecil ini hanya mampu terbaring lesu mendepani penyakit.
Usianya baharu sahaja lapan tahun, namun kesakitan yang terpaksa ditanggung, Nur Tania Emirza Mohd Faizul, sukar digambarkan apabila hari demi hari, barah ovari yang dihidapi membuatnya semakin lemah.
Menurut ibunya, Nur Hafiza Mohd Noor, 28, tiada ungkapan sakit, Nur Tania atau lebih manja disapa Nia, hanya mendengus tidak selesa apabila perutnya semakin membesar sehingga mengehadkan pergerakan.
Tambah Nur Hafiza yang tinggal di Felda Chiku 1, di sini, Nia mula dikesan menghidap penyakit berkenaan pada April lalu apabila si kecil itu mengadu sakit di bahagian perut.
"Sebelum ini, Nia tinggal bersama neneknya di kampung manakala saya pula bekerja di Kuala Lumpur sebagai jurujual. Sebelum ini, dia seperti kanak-kanak lain dan tidak pernah menunjukkan sebarang kesakitan.
"Pada April lalu, dia mengadu sakit perut dan neneknya membawa ke klinik dan didapati ada benjolan kecil di bahagian bawah pusat. Nia dirujuk ke hospital dan disahkan kanser ovari.
"Ketika itu, barah yang dihidapi Nia masih di tahap 1 atau 2. Sejak itu, Nia ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) dan mendapatkan rawatan," katanya.
Update..
Kanak-kanak yang menderita penyakit kanser ovari, Nur Tania Emirza Mohd Faizul, 8, menghembuskan nafas terakhirnya, pagi tadi.
Nur Tania, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Chiku 1, di sini, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Kanak-kanak perempuan itu sebelum ini ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ), sejak April lalu, selepas mengadu sakit di bahagian perut.
Tania menanggung derita selepas penyakitnya merebak dengan cepat, iaitu dalam tempoh empat bulan sahaja.
Sumber: Sinar harian








